Friday, 24 June 2011

TIPS MENJAWAB SOALAN KIMIA

Pelajar kesayanganku.........

Biasanya soalan bermula dengan kata tugas iaitu apa yang pelajar harus jawab. Pelajar harus tahu kata tugas untuk memastikan jawapan yang ditulis mengikut kehendak soalan.


Kata Tugas

Penerangan / Contoh

Namakan

> Berikan nama dan bukan formula.
Contoh: Namakan unsur utama yang dicampur dengan kuprum untuk membentuk gangsa.
Jawapan: Stanum
Bukan: Sn

Nyatakan

> Menulis jawapan dalam bentuk fakta ringkas sahaja. Penerangan tidak diperlukan.
Contoh: Nyatakan satu sifat asid.
Jawapan: Menukarkan litmus biru kepada merah.

Nyatakan pemerhatian

> Menulis apa yang dilihat sahaja dari segi fizikal.
Contoh: Nyatakan pemerhatian apabila pita magnesium dimasukkan ke dalam asid hidroklorik.
Jawapan: Pembuakan/gelembung gas.
Bukan: Gas hidrogen terbebas.

> Menulis perubahan warna asal dan warna akhir.
Contoh: Nyatakan pemerhatian pada warna larutan kuprum(II) sulfat.
Jawapan: Warna biru larutan menjadi tidak berwarna/semakin pudar
Bukan: Larutan menjadi tidak berwarna.

Terangkan

> Menulis jawapan dengan memberi sebab-sebab untuk menjelaskan sesuatu kenyataan / fakta / prinsip.
Contoh: Terangkan mengapa gangsa lebih keras daripada kuprum tulen
Jawapan : Dalam kuprum tulen, atom mudah menggelongsor.Dalam gangsa, atom stanum mengganggu susunan atom kuprum.Dengan itu menghalang gelongsoran atom kuprum.

Apakah yang dimaksudkan (Takrif)

> Memberi makna yang tepat.
Contoh: Apakah yang dimaksudkan dengan hidrokarbon.
Jawapan: Sebatian yang mengandungi karbon dan hidrogen sahaja.
Bukan: Sebatian yang mengandungi karbon dan hidrogen.

Berikan ujian kimia

> Memberi kaedah ujian dan pemerhatian.
Contoh: Berikan satu ujian untuk mengenali ion Fe3+.
Jawapan : Campurkan larutan natrium hidroksida. Mendakan perang terbentuk.

Ujian gas

> Menyatakan kaedah dan pemerhatian.
Contoh: Huraikan bagaimana gas (hidrogen) disahkan hadir.
Jawapan: Masukkan kayu uji bernyala ke dalam tabung uji berisi gas. Bunyi’pop’ terhasil.
Bukan: Uji gas dengan kayu uji bernyala.

Huraikan

> Menulis dengan lengkap apa yang dilakukan,diperhati atau dideduksikan.
Contoh: Huraikan bagaimana anda menyediakan larutan kuprum(II) sulfat bermula daripada pepejal kuprum(II)oksida.
Jawapan : Campurkan kuprum(II)oksida kepada asid sulfurik cair sehingga berlebihan.Turaskan untuk mendapatkan hasil turasan.

Bincangkan

> Memberikan isi-isi penting serta mengkaji setiap satu isi itu secara kritikal.
Contoh: Bincangkan dari segi teori ion mengapa pepejal plumbum(II) bromida tidak boleh mengalirkan elektrik tetapi plumbum(II)bromida lebur boleh.
Jawapan: Plumbum(II) bromida adalah sebatian ion.Dalam pepejal,ion-ion terikat kuat oleh daya elektrostatik.Oleh itu ion-ion tidak bergerak bebas.Apabila dileburkan ion-ion bergerak bebas.

Ramalkan

> Membuat jangkaan sesuatu yang akan berlaku betrdasarkan fakta.
Contoh: Ramalkan kenaikan suhu yang dijangka jika eksperimen I dijalankan menggunakan radas yang lebih besar.
Jawapan:Kenaikan suhu lebih rendah.

Bandingkan
Bezakan

> Menyenaraikan perbezaan dan persamaan antara dua perkara.
> Menyenaraikan semua perbezaan antara dua perkara.
Contoh: Nyatakan tiga sifat yang boleh membezakan antara sebatian ion dengan sebatian kovalen.
Jawapan:[Menyenaraikan 3 sifat sebatian ion dan 3 sifat sebatian kovalen]

Lukiskan gambar rajah radas

> Melukis gambar rajah dengan lengkap

(i) Radas berfungsi (contoh: tidak bocor / gabus tidak masuk ke dalam)
(ii) Label
(iii) Jika ada larutan, larutan perlu dilorek.
(iv) Jika ada pemanasan-anak panah dan perkataan panaskan dibawah anak panah.

Lukiskan susunan elektron bagi sebatian yang terbentuk

> (i) Sebatian ionik –Bilangan elektron betul bagi semua petala. Cas ion juga ditunjukkan.
> (ii) Sebatian kovalen- 8 elektron disetiap petala luar dan perkongsian elektron betul. Semua petala ditunjukkan. Bilangan atom yang berpadu juga betul.

Lukiskan graf

> Graf dilukis dengan paksi dilabel dan unit betul.
> Skala yang sesuai,
> Pemindahan titik betul,
> Bentuk dan graf licin.
> Jika hitung kadar pada masa tertentu-lukis segitiga tepat pada tangen lengkungan graf.

Lukiskan gambar rajah aras tenaga

> Gambar rajah aras tenaga – anak panah tegak.
> 2 garis ufuk dan tenaga dilabel.
> Bahan tindak balas dan hasil tindak balas di garis yang betul.

Lukiskan susunan zarah dalam pepejal

> Melukis susunan zarah sekurang-kurangnya tiga baris dan bersentuh tetapi tidak bertindih. (3x3 @ 4x4)

Lukis arah pengaliran elektron dalam sel.

> Melukis arah pengaliran elektron - anak panah pada atau selari dengan wayar penyambung dan bukannya merentasi larutan atau melalui larutan.

Tuliskan persamaan kimia

> Persamaan yang ditulis mesti seimbang. Keadaan tidak diperlukan. Jika ditulis mesti betul.

Hitungkan

> Menghitung dengan menunjukkan jalan kerja (konsep) dan jawapan akhir serta unit.
 SUMBER :
Perfect Score Kimia SBP versi Bahasa Melayu. Untuk versi Bahasa Inggeris
http://www.pahaikan.com/teknik_menjawab_kimia.php

No comments:

Post a Comment